Hidangan Pencuci Mulut
bingka serbuk roti
Oleh: Noor Joha Ahmad
Bingka serbuk roti berpisang
Memandangkan saya ada lebihan pisang setelah membuat lempeng pisang berkoko tadi, pisang emas selebihnya saya kupas dan hiris nipis menjadi tiga hirisan setiap sebijinya. Saya gunakan sebanyak 15 biji pisang emas kesemuanya.
Kemudian saya ambilkan se tin susu cair dan tuangkannya ke dalam bekas. Saya pukul dengan tiga biji telur, satu sudu besar esen vanila serta tiga perempat cawan gula perang hingga sedikit kembang.
Setelah itu saya masukkan satu cawan kelapa kering (jenis untuk membuat kek) dan setengah cawan serbuk badam.

Saya gaul sebati sehingga sekata.
Langkah seterusnya ialah mencampurkan satu setengah cawan serbuk roti. Saya gaul rata lagi sehingga sekata.
Ambil bekas mengikut cita rasa anda dan sapukan dengan shortening dan lapikkan dengan kertas surih pada bahagian bawahnya.
Tuangkan sedikit adunan dan ratakan. Kemudian lapiskan dengan hirisan pisang. Kemudian tuang lagi adunan dan lapiskan pisang lagi sehingga tiga kali.
Bakar pada suhu 190 darjah selsius selama 45 minit atau sejam.
Puding Roti Perang Bercoklat

Bahan-bahan:
1/2 buku roti perang - dihiris
250 ml susu segar
250 ml krim putar
125 gm gula
5 biji telur
10 ml esen vanila
80 gm serbuk koko
50 gm kismis
100 gm coklat masakan - diparut
Cara menyediakan:
1. Masukkan hirisan roti perang dan kismis ke dalam loyang. Ketepikan.
2. Pukul telur, gula dan esen vanila sehingga kembang.
3. Masukkan krim putar, susu segar dan dan serbuk koko.
4. Pukul lagi sehingga sebati.
5. Tuangkan adunan tadi ke dalam loyang.
6. Taburkan parutan coklat di atasnya.
7. Bakar selama 30 minit pada suhu 180 darjah Selsius.
(* Jika suka, bolehlah hidangkan bersama sos kastard dan hirisan buah-buahan)
Peach and Banana Crumble

Bahan-bahan:
2 tin buah pic
1 ikat pisang emas
Aiskrim vanila
Sos vanila
Bahan-bahan untuk 'crumble':
500 gm tepung
500 gm mentega
200 gm oats
Gula secukup rasa
Cara menyediakan:
1. Pic dipotong dadu.
2. Pisang emas dipotong dadu.
3. Gaul tepung dan mentega.
4. Kemudian di dalam bekas berasingan, campurkan oats dan gula.
5. Apabila tepung dan mentega sudah sebati, masukkan ke dalam campuran oats tadi.
6. Gaul bahan-bahan 'crumble' ini hingga sebati.
7. Masukkan pic dan pisang dalam acuan pembakar.
8. Masukkan pula bahan-bahan 'crumble' tadi di atasnya.
9. Bakar pada suhu 180 darjah Selsius selama 25 minit.
10. Hiaskan dengan aiskrim vanila serta sos vanila di atas crumble ini.
Puding Roti Lapis Madura

Bahan-bahan:
25 gm agar-agar / 1 paket
1 tin susu cair
300 gm gula
1 pek kepingan masam manis
1 bungkus roti pek besar
1 biji telur
2 sudu kecil esen vanila
4 sudu besar tepung kastard
Sedikit pewarna merah
6 hingga 7 cawan air
Cara menyediakan:
1. Potong keliling roti agar tinggal kepingan putih sahaja.
2. Cairkan tepung kastard.
3. Pukul telur sehingga kembang.
4. Leraikan kepingan masam manis. Ketepikan.
5. Masak agar-agar dengan air sehingga larut.
6. Kemudian, masukkan gula dan biarkan hingga hancur.
7. Masukkan 3/4 susu cair. Kacau rata.
8. Masukkan pula larutan kastard.
9. Tuangkan juga telur yang telah dipukul tadi.
10. Bubuh sedikit pewarna merah.
11. Kacau sehingga kelihatan agak likat dan kecilkan sedikit api.
12. Terus kacau perlahan-lahan.
13. Masukkan sedikit larutan ini ke dalam bekas setinggi 2 sentimeter.
14. Biarkan ia beku sebentar.
15. Setelah sejuk, kelarkan dengan menggunakan garfu.
16. Susun selapis kepingan roti di atasnya hingga menutupi permukaan bekas itu.
17. Tuangkan lagi larutan agar-agar hingga menyerap ke dalam lapisan roti tadi.
18. Kemudian, susun kepingan masam manis.
19. Ulangi proses menyusun roti hingga menjadi tiga lapisan.
20. Setelah sejuk, dinginkan puding dalam peti sejuk.
21. Apabila sudah dingin, bolehlah dipotong dan dihidangkan.
Puding Coklat Kristal

Bahan-bahan 1:
10 gm serbuk agar-agar
50 gm coklat masakan
100 gm gula
600 ml air
Buah longan secukupnya
Cara menyediakan bahan 1:
1. Masak kesemua bahan sehingga hampir pekat.
2. Bekukan setengah bahagian dan terap mengikut acuan kesukaan anda.
Bahan-bahan 2:
15 gm serbuk agar-agar
200 gm gula
1 biji kuning telur
1/2 cawan susu cair
1,000 ml air longan
1/4 sudu teh garam
Pewarna kuning secukupnya
Cara menyediakan bahan 2:
1. Masak kesemua bahan sehingga hampir pekat.
2. Susun buah longan dalam acuan.
3. Tuangkan bahan-bahan yang dimasak tadi berselang-seli dengan bahan 1 (yang telah diterap).
4. Akhir sekali, tuang baki adunan coklat.
5. Bekukan dan hias.


