Hidangan Ikan
Kari Keladi Bersardin

Bahan-bahan:
2 batang keladi bersama ubi
1 tin besar ikan sardin
2 sudu besar serbuk kari ikan - dibancuh dengan sedikit air
2 ulas bawang putih - dimayang
1 labu bawang besar - dibelah empat
2 sudu besar air asam jawa
1 1/2 cawan santan pekat
2 tangkai daun kari
Garam secukup rasa
2 sudu besar minyak masak
Cara menyediakan:
1. Rebus keladi sehingga empuk.
2. Kemudian, angkat dan tuskan.
3. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bawang putih bersama daun kari.
4. Apabila naik bau, masukkan larutan serbuk kari.
5. Tumis sehingga pecah minyak.
6. Masukkan santan, air asam jawa dan bawang besar.
7. Masak sehingga mendidih.
8. Barulah dimasukkan ikan sardin.
9. Masukkan juga keladi rebus tadi.
10. Perasakan dengan garam.
11. Bolehlah diangkat dan hidangkan panas-panas.
Pecal Ikan Keli Daun Cekur

Bahan-bahan:
1 kg ikan keli
1 cawan santan pekat
10 tangkai cili padi - dikisar
4 biji cekur - dikisar
4 ulas bawang merah - dikisar
5 tangkai daun cekur - dihiris halus
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
Serbuk perasa secukup rasa
Cara menyediakan:
1. Bersihkan ikan keli dan gaul dengan garam.
2. Bakar ikan keli ini sehingga masak. Ketepikan.
3. Panaskan santan dan masukkan bahan-bahan yang dikisar.
4. Masukkan juga garam, gula dan serbuk perasa. Gaul rata.
5. Bolehlah masukkan hirisan daun cekur.
6. Gaul rata dan masak sehingga kuah menjadi agak pekat.
7. Susun ikan keli bakar di dalam pinggan.
8. Tuangkan kuah santan masak tadi di atasnya.
9. Bolehlah dihidangkan bersama nasi putih.
Lemak Tempoyak Kembung Berlimau Purut

Bahan-bahan:
1 kg ikan kembung - dibersihkan
3 sudu besar tempoyak
2 batang serai - dititik
5 helai daun limau purut - dihiris rampai
4 ulas bawang merah - dihiris
15 tangkai cili padi - dikisar
3 cawan santan kemancar
1 cawan pati santan
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
Cara menyediakan:
1. Santan kemancar dimasukkan ke dalam periuk.
2. Begitu juga dengan bawang merah, cili padi, serai dan daun limau purut.
3. Masukkan juga tempoyak, garam dan gula.
4. Kacau sebati kesemua bahan.
5. Jerang di atas api sederhana sehingga mendidih.
6. Pastikan kuah ini dikacau selalu.
7. Apabila mendidih, masukkan ikan.
8. Setelah ikan masak, barulah dimasukkan pati santan.
9. Apabila kuah pekat, bolehlah diangkat dan dihidangkan.
Ikan Tasik Asmara

Bahan-bahan:
1 kg isi ikan merah - dibersihkan dan dipotong kecil
2 labu bawang besar - dipotong empat
3 ulas bawang merah - dikisar
3 ulas bawang putih - dikisar
1/2 inci halia - dikisar
5 sudu besar sos tomato
6 sudu besar sos cili
2 sudu besar tepung jagung
2 sudu besar tepung ubi
Sedikit serbuk lada sulah
1 sudu kecil cuka
2 biji lada benggala merah - dipotong dadu
2 biji tomato - dibelah empat
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
Serbuk perasa secukup rasa
Sedikit air
Minyak untuk menggoreng
Cara menyediakan:
1. Salut isi ikan bersama tepung ubi.
2. Panaskan minyak dan goreng isi ikan itu.
3. Apabila isi ikan menjadi kuning keemasan, angkat dan ketepikan.
4. Tumis semua bahan yang dikisar sehingga naik bau.
5. Masukkan sos tomato, sos cili dan cuka. Kacau.
6. Tambahkan sedikit air jika kuah agak pekat.
7. Masukkan lada benggala, bawang besar dan tomato.
8. Barulah dimasukkan garam, gula dan serbuk perasa. Kacau.
9. Sementara itu, bancuhkan 2 sudu tepung jagung dengan air.
10. Tuangkan ke dalam kuah tadi.
11. Gaul rata. Jika ia agak pekat, bolehlah ditambah dengan sedikit air.
12. Masukkan serbuk lada sulah dan dikacau lagi.
13. Tuangkan kuah ini di atas isi ikan yang telah digoreng tadi.
14. Bolehlah dihidangkan panas-panas.
Siakap Dengan Salad Mangga

Bahan-bahan untuk ikan:
1 ekor ikan siakap (saiz sederhana) - dibersihkan
5 sudu besar tepung gandum
1/2 sudu kecil garam
1/2 sudu kecil serbuk lada sulah
Sedikit air
Minyak sayuran secukupnya untuk gorengan terendam
Cara menyediakan ikan:
1. Campurkan tepung gandum, garam dan serbuk lada sulah dengan sedikit air.
2. Lumurkan ikan dengan tepung ini.
3. Goreng ikan secara gorengan terendam di dalam minyak panas selama lima minit.
4. Keluarkan ikan tadi dan tuskan minyaknya.
5. Ketepikan seketika.
Bahan-bahan untuk salad mangga:
2 biji mangga - dibuang kulit dan dihiris halus
3 biji cili merah - dicincang
2 sudu besar gula
3 sudu besar jus limau nipis
2 sudu besar sos ikan
2 labu bawang besar - dimayang
Cara menyediakan salad mangga:
1. Campurkan kesemua bahan dan gaulkan hingga sebati.
2. Taburkan salad mangga di atas ikan goreng tadi.
3. Sedia untuk dihidangkan.


