Nanta Cookin' - Aksi Dapur Di Pentas

Pada 23 dan 24 Julai lalu, gambaran suasana dapur yang kelam-kabut itu dipersembahkan melalui Nanta Cookin', sebuah pementasan muzikal komedi yang dibawa khas dari Korea Selatan.
Siapa sangka, aksi menyediakan makanan boleh dipersembahkan dalam pementasan teater muzikal secara cukup kreatif. Peralatan dapur seperti senduk, sudip, kuali, periuk, botol air, pisau dan sebagainya digunakan sebagai 'alat muzik'. Apabila alat-alat itu diguna dan digabungkan serentak dengan persembahan gendang, maka terhasillah satu persembahan yang bertenaga dan penuh drama.
Nanta Cookin'memaparkan aksi lima watak dipentas; tiga chef, seorang pengurus dan anak saudaranya sebagai pembantu, yang mengejar masa untuk menyiapkan hidangan sebelum jam enam, dan mereka hanya mempunyai masa kurang dua jam.


Antara aksi-aksi lucu Nanta Cookin'.
Dalam tempoh itulah berlaku pelbagai perkara lucu, tambahan gelagat anak saudara pengurus yang suka menyibuk. Aksi memotong sayur dan memasak dilakukan secara berirama, disulami dengan gerakan akrobatik serta mimik muka yang adakala melucukan.
Suasana dapur yang kelam-kabut memang boleh membuat audien tidak kering gusi. Tambahan persembahan dibuat tanpa dialog. Yang terdengar adalah irama dari pisau-pisau dan perkakas dapur lain. Memang menyeronokkan.

Penonton juga dibawa ke atas pentas.
Sememangnya Nanta Cookin' bukan satu demonstrasi masakan, tetapi satu persembahan kreatif yang 'menyelerakan.' Tidak hairanlah ia mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Nanta Cooking' dipersembahkan buat pertama kalinya di Seoul pada Oktober 1997 dan berpeluang membuat pementasan selama satu setengah tahun di Broadway, New York.
Persembahan di Kuala Lumpur telah dipentaskan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen, dan dibawakan oleh Centerstage Entertainment Sdn. Bhd dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dn Kebudayaan, sempena Festival Muzik KL 2010.
Siapa sangka ya? Aksi didapur pun boleh menjadi satu tarikan besar di pentas!

| < Prev | Next > |
|---|


