Chef Zam Buka Kolej
Silverspoon International College (SIC) adalah hasil perkongsian Chef Zam dengan dua lagi rakan kongsinya, Rodney Lai (Pengarah Eksekutif) dan Zuraida Rashid (Pengarah Akademik dan Pembangunan Perniagaan).
Pada 21 Julai lalu, kolej tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan.
Menurut chef selebriti itu, idea penubuhan kolej tersebut bermula daripada 'sembang-sembang di kedai kopi', tetapi akhirnya menjadi realiti dalam tempoh tidak sampai setahun.
SIC ditempatkan di dua lot bangunan kedai tiga tingkat yang baru, dan dilengkapi kemudahan-kemudahan terkini. Kolej itu mempunyai empat dapur komersial termasuk pastri dan bakeri, sebuah restoran yang dinamakan 65O dan Chef Zam@Work, sebuah dapur khusus untuk mengendalikan kursus-kursus pendek serta program televisyen.
Selain itu, ia juga dilengkapi sebuah pusat sumber dan empat bilik untuk pelajar mengikuti kelas teori. SIC berkemampuan mengambil 200 pelajar pada satu-satu masa dan sesi pertamanya dijangka bermula Ogos ini.

Antara bilik kelas dan dapur komersial di Silverspoon International College
Kolej ini menawarkan kursus sepenuh masa Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 & 2 dalam bidang Seni Kulinari, SKM Tahap 1 & 2, Pastri dan Bakari, SKM Tahap 1 & 2, Perkhidmatan Makanan dan Minuman, dan Program-program Skim Aprentis Industri Perhotelan.

Chef Zam yang mempunyai kelayakan dan pengalaman luas dalam bidang kulinari serta pendidikan, akan mengetuai tenaga pengajar di kolej itu. Beliau akan dibantu oleh rakan-rakan chef lain dari dalam dan luar negara.
Di majlis sama, buku Chef Zam, Segalanya Nasi turut dilancarkan. Diterbitkan oleh Marshall Cavendish, buku yang berketebalan 96 muka surat ini memuatkan 50 resipi nasi dan pulut.

| < Prev | Next > |
|---|


